PERANGCANGAN




PERANCANGAN

Secara umumnya perancangan jangka panjang pertubuhan terbahagi kepada tujuh fasa yang telah dan akan dijalankan oleh pertubuhan demi memartabatkan budaya keusahawanan dikalangan ahli khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Selain itu perancangan ini dirangka bertujuan memberi bimbingan dan ilmu yang secukupnya kepada para ahli bagi membolehkan mereka berjaya di dalam bidang yang diceburi mereka.

FASA 1

Menjalankan pendaftaran ahli-ahli dengan pertubuhan di samping mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi membolehkan setiap ahli menjalankan perniagaan dengan sah. Selain itu hal ini juga penting bagi menyediakan satu pengkalan data atau rekod yang sistematik untuk setiap ahli bagi memudahkan segala urusan yang berkaitan.

FASA 2

Menyediakan setiap ahli dengan segala ilmu yang diperlukan bagi membolehkan mereka mengorak langkah ke arah kejayaan dalam perniagaan yang akan atau sedang diceburi. Ini bermula dengan menjalankan kaji selidik berkaitan dengan latar belakang, minat dan hal-hal yang berkaitan setiap ahli dan pihak-pihak yang berkaitan. Seterusnya setiap ahli akan dibekalkan dengan ilmu-ilmu yang sepatutnya seperti modul keusahawanan, motivasi keusahawanan dan pengurusan perniagaan. Semua ini akan disampaikan melalui satu konvensyen yang akan dilaksanakan dan disampaikan oleh pihak-pihak yang dilantik dan berkelayakkan.

FASA 3

Borang-borang para ahli akan diasingkan mengikut bidang kecenderungan dan minat masing-masing seperti bidang pertanian, perladangan, penternakan, dan sebagainya. Borang-borang tersebut beserta Rancangan Perniagaan akan diserahkan kepada pihak bank-bank yang terlibat dalam memberi dana pinjaman kepada usahawan. Ini akan memudahkan pihak bank untuk menguruskan pinjaman tersebut.

FASA 4

Di dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihak bank, mereka akan menyalurkan dana pinjaman kepada usahawan-usahawan untuk memulakan atau memajukan lagi perniagaan. Hal ini penting kerana ia akan dijadikan modal ke arah menjadi usahawan yang berjaya.

FASA 5

Persatuan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana akan menubuhkan persatuan di peringkat negeri dan parlimen bagi membimbing dan menjadi penasihat kepada usahawan yang menjalankan perniagaan. Badan yang akan ditubuhkan ini juga akan bertindak sebagai pemantau kepada ahli-ahli dalam menjamin kejayaan mereka. Ini penting bagi memastikan golongan usahawan ini tidak bermasalah dalam menjalankan dan menguruskan perniagaan mereka dengan baik dan betul.

FASA 6

Semua ahli dikumpulkan semula bagi mendapatkan maklum balas tentang perniagaan yang telah dijalankan. Pihak pertubuhan akan memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar yang sepatutnya kepada ahli-ahli bagi membolehkan mereka menjadikan perniagaan masing-masing lebih baik. Setiap maklumat dan perkembangan terkini setiap ahli dikumpulkan dan pangkalan data akan dikemas kini. Hal ini penting bagi menjadi rujukan untuk melaksanakan program-program di masa depan agar lebih berkesan.

FASA 7

Segala pengalaman dan ilmu yang diperolehi daripada usahawan-usahawan yang berjaya akan dijadikan azimat untuk membentuk usahawan baru di masa akan datang. Golongan usahawan yang berjaya ini akan menjadi mentor kepada usahawan-usahawan baru bagi memastikan satu kelompok usahawan berjaya dapat dibentuk pada masa hadapan dan sistem ini akan dipraktikkan. Dengan cara ini pertubuhan akan sentiasa dapat melahir lebih ramai usahawan dan pada masa yang sama dapat menyemarakkan budaya keusahawanan secara berterusan.


2 comments:

  1. DIMANA SY BOLEH DAPATKAN BORANG KEAHLIAN

    ReplyDelete
  2. Dimana nak ambik borang keahlian d pulau pinang?

    ReplyDelete